Seni bina persis Masjid Nabawi

BUKAN sekadar tempat ibadat bagi umat Islam, masjid turut melambangkan keteguhan dan ketamadunan agama suci itu sendiri.

Antaranya adalah menerusi reka bentuk unik yang mampu menarik orang ramai bukan hanya umat Islam, malah bukan Islam termasuk pelancong asing untuk menjejakkan kaki ke rumah Allah itu.

Begitulah juga dengan keindahan reka bentuk Masjid Jamek di tengah pusat bandar Kuala Lumpur yang menjadi antara institusi bersejarah dan tarikan pelancong.

Ketua Imam Masjid Jamek, Yahya Mahyudin berkata, masjid berusia 110 tahun itu telah dipelihara sebagai warisan sejarah sejak dari pemerintahan British.

 

“Tapak masjid yang dibina pada 23 Disember 1909 ini merupakan tapak bagi permulaan bandaraya Kuala Lumpur dengan penemuan bijih timah di kawasan Sungai Klang.

“Kedudukan Masjid Jamek ini dahulunya sangat unik iaitu antara pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak yang menjadi mercu utama bandaraya Kuala Lumpur dengan rekaan unik perbandaran menerusi bangunan ini,” katanya.

Mengulas lanjut Yahya memberitahu, peninggalan sejarah ini telah dipelihara dengan baik termasuk membaik pulih bangunan sedia ada dan menambah beberapa payung seakan-akan di Masjid Nabawi, Madinah.

“Payung gergasi ini dibina mengambil inspirasi daripada reka bentuk payung hidraulik di Madinah bagi memberikan keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan solat.

“Bagaimanapun, di Masjid Jamek payung ini hanya boleh dibuka, namun tidak berfungsi untuk ditutup semula seperti di Madinah kerana tidak dilengkapkan dengan teknologi tersebut selain saiznya yang jauh lebih kecil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, payung tersebut dibina bertujuan menampung jumlah jemaah iaitu mencecah sehingga 1,000 orang dalam satu-satu masa terutama pada waktu solat Jumaat.

“Selepas pemasangan payung gergasi ini, jemaah yang datang untuk solat tidak lagi berpanas sekiranya ruang di dewan utama sudah penuh dan terpaksa solat di luar.

“Malah, pemasangan payung gergasi ini turut menyaksikan peningkatan pengunjung terutama pelancong asing yang berminat mendekati rekaan unik tersebut,” katanya.

Pada 2016, masjid ini terpaksa ditutup selama enam bulan bagi memberikan ruang kepada kerja-kerja menaik taraf masjid ini seperti yang ada hari ini.

KEPELBAGAIAN AKTIVITI

Kedudukannya yang strategik di lokasi tumpuan ramai menjadikan Masjid Jamek sebagai pusat pembangunan Islam yang sarat dengan pelbagai aktiviti untuk pengunjung.

Daripada aktiviti keagamaan hinggalah kepada riadah santai turut diadakan di masjid ini yang tidak pernah sunyi dengan kemeriahan orang ramai.

Ekoran pelbagai program menarik yang diadakan berjaya menarik ramai pelancong asing dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Perancis, China, Taiwan, Eropah dan Korea ke masjid tersebut untuk melihat keindahan reka bentuk dalam masa sama menyertai aktiviti dijalankan.

Menurut Yahya, kira-kira 200 hingga 300 pelancong asing melawat Masjid Jamek setiap hari yang dibuka pada awal pagi hingga lewat petang.

“Mereka berasa kagum dengan rekaan masjid ini yang unik dan tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan bersama monumen indah di negara kita.

“Malah, daya tarikan Masjid Jamek yang unik ini juga berjaya membuka pintu hati mereka untuk lebih mempelajari mengenai agama Islam,” katanya.

Tambahnya, antara program menarik diadakan di masjid ini adalah aktiviti memanah yang diadakan pada setiap Sabtu di ruang tengah masjid.

“Bagi permulaan, pengunjung diberikan dua batang anak panah percuma dan dipantau oleh jurulatih profesional.

“Selain itu, kita mengadakan tadarus al-Quran, kelas pengajian agama, iqra dan smart tahfiz yang diadakan mengikut hari serta masa dijadualkan,” ujarnya.

 

 

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…