Masjid Ar-Rahman tarikan baharu pelancong

KOTA BHARU, 3 Jun (Bernama) -- Keunikan ukiran seni bina Masjid Ar-Rahman di Kampung Pulau Gajah, Sabak memukau setiap mata yang memandang sekali gus menjadi tarikan baharu kepada sektor pelancongan di negeri ini.

Tersergam indah di kawasan hujung perkampungan, masjid sumbangan dan cetusan idea pembinaannya daripada seorang ahli korporat kira-kira tiga tahun lalu kini menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negeri. 

Masjid berkeluasan 5,000 kaki persegi yang dikelilingi sungai buatan itu dibina bagi menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah di masjid lama Mukim Pulau Gajah.

Imam masjid Hasan Mahmood ketika ditemui Bernama berkata masjid yang dibina menggunakan beberapa jenis kayu termasuk cengal dan jati dengan kos lebih RM6 juta menampilkan gabungan seni hiasan sekurang-kurangnya daripada lima buah negara selain mempamerkan kehebatan seni bina Melayu. 

“Kombinasi hiasan masjid yang dipertontonkan dibawa khas dari pelbagai negara antaranya pintu utama masjid ini diimport dari Yaman, dua tiang yang berwarna hijau di mimbar masjid pula dari Maghribi, set geduk dari Indonesia, lampu gantung dari India dan paip yang unik untuk berwuduk pula diimport dari Turki. 

“Cetusan dan idea ini diilhamkan oleh individu yang membiayai pembinaan masjid ini apabila beliau sering kali merantau ke luar negara dan mengambil sedikit sebanyak konsep idea masjid-masjid yang pernah dilawati terutama Masjid Agung Demak, Indonesia selain masjid di Turki dan juga Maghribi. 

Ditengah ruangan solat pula terdapat lima tiang daripada kayu balak asli yang membawa simbol kepada lima rukun Islam, malah di lelangit masjid pula terdapat lakaran 15 bintang yang diilhamkan dari Masjid Biru Turki serta ukiran bulatan empat nama Khulafa’ Ar-Rasyidin. 

“Keindahan masjid ini juga cuba diterjemahkan pada setiap sudut dengan hampir 80 peratus adalah ukiran tangan iaitu 99 nama Allah serta ayat suci al-Quran termasuk Surah Yaasin, Al-Mulk dan juga Ar-Rahman yang membuatkan masjid tidak putus-putus dikunjungi,” katanya.

Hasan berkata dikelilingi pokok dan hutan, udara di masjid yang boleh memuatkan kira-kira 1,000 jemaah itu sentiasa nyaman dan sejuk.

Selain pengunjung tempatan Masjid Ar-Rahman turut menerima kunjungan pelawat luar negara termasuk Brunei dan Australia.

Antara kemudahan yang disediakan adalah tempat meletak kenderaan yang luas, ruang beriadah serta kantin di perkarangan masjid untuk keselesaan pengunjung dan jemaah. 

Hasan berkata beliau dan ahli jawatankuasa  masjid yang lain dalam perancangan untuk menyediakan kemudahan berkayak bagi memanfaatkan sungai buatan di masjid berkenaan.

Sementara itu, seorang tukang ukir yang mahu dikenali Salleh, 46, yang berasal dari Jepara, Indonesia berkata kesemua ukiran tangan yang ada di masjid itu di buat olehnya serta lima lagi rakan berasal dari negara yang sama. 

"Ukiran yang terdapat di masjid ini ada yang diukir sendiri oleh kami dan ada yang diimport dari Indonesia. Tempoh bagi menyiapkan satu keping ukiran tangan ayat suci al-Quran seperti surah Yaasin mengambil masa hampir tiga bulan. 

“Ia memerlukan penelitian yang sangat tinggi semasa mengukir bagi memastikan setiap ayat suci al-Quran itu adalah tepat, dan kebiasaanya ia akan disemak oleh individu yang mahir terlebih dahulu sebelum diletakkan di dinding bagi menjaga kesucian ayat al-Quran tersebut ,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…