Masjid padang pasir, hadiah rakyat Malaysia

PERNAH dianggap misi mustahil apabila pertubuhan Muslim Care Malaysia menyatakan niat mahu membina masjid di gurun utara Chad, Afrika, bagi kegunaan masyarakat Islam di situ.

Namun, keazaman membantu umat Islam miskin di bumi tandus Chad itu akhirnya menjadi realiti apabila masjid yang turut dijadikan pusat dakwah itu berjaya disiapkan sepenuhnya, baru-baru ini.

Lokasi pembinaan masjid berkenaan terletak di pedalaman perkampungan Wadjigui, Chad, Afrika, terletak sejauh kira-kira 200 kilometer dari ibu kota N’Djamena dan berada di selatan Gurun Sahara.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, usaha itu bermula pada Mac 2017 apabila beliau pergi melihat sendiri tapak bagi membina masjid itu.

 

Menurutnya, usaha Muslim Care Malaysia yang turut mendapat sokongan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu bukan tugas mudah berikutan ia membabitkan kos yang besar.

“Berdasarkan tinjauan awal ketika itu, tiada jalan raya sempurna menghubungkan ibu negara N’Djamena dengan lokasi pedalaman di Wilayah Kanem itu.

“Individu yang mahu ke lokasi itu perlu merentasi padang pasir dengan menaiki pacuan empat roda selama empat jam.

“Terdapat sekitar lebih 1,000 penduduk mendiami kawasan tandus itu dengan kemudahan asas serba daif.

“Malah lokasi mereka melakukan solat dan mengadakan kelas mengaji Al-Quran dilakukan di dalam binaan batu tidak sempurna,” katanya.


GAMBAR kenangan Zulkifli ketika melawat tambah pembinaan masjid sebelum ia mula dibina. FOTO Muslim Care

Zulkifli berkata, pihaknya yang berjaya mengumpul sumbangan rakyat Malaysia dan kutipan penuntut UTM menyalurkan sumbangan awal berjumlah RM50,000 kepada ketua penduduk di situ.

Menurutnya, bahan asas binaan seperti bata, besi dan simen terpaksa dibawa melalui perjalanan jauh ke Wadjigui.

“Doa dan sumbangan berterusan oleh rakyat Malaysia akhirnya membolehkan masjid itu disiapkan sepenuhnya tahun lalu dengan kos keseluruhan menelan belanja hampir RM700,000.

“Masjid itu yang mampu menampung 400 jemaah pada satu-satu masa itu turut dipasang jubin, sistem pembesar suara selain panel solar untuk membekalkan tenaga elektrik,” katanya.

Menurutnya, masjid itu turut dilengkapi pam air, tandas dan bilik khas untuk kegunaan imam.

“Selain tumpuan diberikan di Chad, Afrika, pihak Muslim Care Malaysia turut melakukan misi sama di Nigeria tahun lalu.

“Sumbangan diperoleh membolehkan kerja baik pulih kelas agama dan pembinaan asrama tiga tingkat dilakukan di pusat Al-Itqan Academy Of Nigeria membabitkan kos sekitar RM200,000.

“Selain itu, Muslim Care Malaysia turut sedang membangunkan kompleks, masjid, sekolah rendah dan menengah di Kemboja selain pusat Islam di Jepun dan Poland yang berjaya dibina hasil dana dikumpulkan,” katanya.

Beliau bersyukur berikutan setiap usaha Muslim Care untuk membantu umat Islam serata dunia mendapat sokongan umat Islam Malaysia yang tidak henti-henti menyalurkan sumbangan.

“Tidak sekadar masjid di luar negara, malah Muslim Care Malaysia turut membangunkan pusat tahfiz Al-Quran di Lembah Beringin, Selangor,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 7:41 PM
 

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…