Negara CIS mahu timba kepakaran M'sia dalam pasaran halal

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kalangan perniagaan daripada Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS) yang juga perkumpulan negara bekas Soviet, berminat untuk menimba kepakaran Malaysia dalam pasaran halal selain meninjau potensi kerjasama yang boleh dijalinkan.

Presiden International Association of Islamic Business (IAIB) Marat Kabaev yang mengetuai satu delegasi ke Malaysia berkata pihaknya dalam proses mengenal pasti rakan berpotensi dalam sektor halal, termasuk firma tempatan yang berminat untuk melabur di rantau itu dalam usaha memacu ekonomi masyarakat Muslim.

IAIB merupakan sebuah pertubuhan bukan komersial yang ditubuhkan di Moscow dengan matlamat untuk membangunkan hubungan ekonomi dengan negara-negara Islam.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dalam sektor-sektor halal atau yang tidak dilarang dalam Islam. Kami telah melawat pusat eksport Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan terdapat banyak produk-produk yang kami minati," katanya selepas menghadiri Forum Dewan Perdagangan ASEAN-CIS di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Marat berkata IAIB juga berhasrat untuk membuka pejabat di Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan dengan negara ini selain membantu syarikat yang berminat untuk berniaga di rantau ASEAN dan CIS.

"Kami berminat untuk menimba kepakaran Malaysia dan berharap dapat melakukan pelbagai usaha murni secara bersama bagi meningkatkan ekonomi sesama umat Islam," katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata syarikat-syarikat Malaysia perlu merebut peluang untuk meneroka potensi perniagaan di negara-negara CIS seperti Rusia, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Azerbaijan.

Pada masa ini, pembabitan Malaysia di rantau itu lebih bertumpukan sektor minyak dan gas, bahan dan produk kimia, katanya.

“Oleh itu, peluang ini akan membuka pintu untuk menembusi negara-negara CIS selain dapat meningkatkan kedudukan syarikat Malaysia di rantau tersebut," katanya.

Beliau juga menyifatkan peluang berkenaan akan membolehkan Malaysia menjadi pembekal baharu bagi rantau tersebut.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Pembangunan Inovasi Dana Eurasia, Bulat Kasymov berpendapat Malaysia mempunyai potensi untuk muncul sebagai pengeluar teknologi.

"Malaysia adalah tempat yang sesuai untuk menghasilkan produk teknologi dan berpotensi untuk menyaingi China," katanya.

Delegasi itu tiba semalam bersempena lawatan selama empat hari dan dijadual mengunjungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia esok bagi mendapatkan maklumat mengenai industri halal, khususnya aspek pensijilan halal.

-- BERNAMA
 
 
 
 
 

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…