Warisan dunia di Turki

TURKI kaya dengan warisan Islam, Greek dan Rom. Itulah yang menjadi kebanggaan rakyatnya.

Ini terbukti apabila Turki memiliki 16 tapak warisan dunia yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Negara dengan keluasan dua kali ganda Malaysia itu mempunyai 81 juta penduduk.

Penulis bersama 32 ahli rombongan berpeluang melawat negara yang terletak di antara benua Eropah dan Asia itu pada Disember lalu.

Lawatan pertama kami adalah ke Masjid Biru di Istanbul. Masjid cantik itu dibina pada zaman Sultan Ahmed iaitu pada abad ke-17 yang memaparkan seni bina Islam yang indah.

 

Tidak jauh dari bangunan Masjid Biru, kami ke Muzium Hagia Sophia.

Ia adalah sebuah gereja pada zaman pemerintahan Byzantine dan ditukar menjadi masjid oleh Sultan Muhammad Al-Fateh selepas Islam menawan Konstantinopel pada 1453.

Sehinggalah pada 1935, ia dijadikan muzium. Ukiran berunsur Islam dan Kristian masih kekal di situ.

Kejayaannya menawan kota keagungan Kristian itu menepati satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, kota itu akan ditakluk seorang raja yang hebat dan tentera yang hebat.

Konstantinopel ditukar nama kepada Islambol dan kemudiannya Istanbul.

Sebuah lagi masjid yang kami lawati adalah Masjid Eyup Sultan. Ia sempena nama seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Ayub al-Ansari.

Beliau juga terbabit dalam usaha penaklukan kota Konstantinopel pada zaman Bani Umayyah.

Perjalanan seterusnya, kami ke Pamukkale yang terkenal dengan keajaiban alam semula jadinya. Terdapat teres kolam air panas dan lapisan garam kalsium di permukaan bumi yang berbukit-bukau itu.


PENULIS dan isteri di Mushroom Valley, Cappadocia.

Ia lebih terkenal dengan nama Cotton Castle (Istana Kapas). Kawasan itu seperti padang salji yang memutih saujana mata memandang.

Seterusnya, kami ke Konya untuk melihat tarian Darwish (Whirling Dervishes) berdekatan Muzium Mevlana.

Tarian itu berasaskan konsep sufi kerohanian dicetuskan Sheikh Jalaludin al-Rumi pada abad ke-16.

Falsafah ketuhanan dijelmakan menerusi zikir, doa, kehidupan, kematian diadun dengan pergerakan berpusing-pusing oleh penarinya.

Di Muzium Mevlana turut tersimpan barang peribadi milik Sheikh Jalaludin seperti al-Quran lama dan barang peribadi sultan daripada Kerajaan Uthmaniyah.

Tidak sah ke Turki jika tidak ke Grand Bazaar iaitu pusat perniagaan menempatkan 3,000 peniaga yang sudah wujud sejak 1455 Masihi.

Oleh sebab ia terlalu besar, pengunjung boleh tersesat di situ. Pelbagai barangan seperti manisan (Turkish Delight), kekacang, baklava, pakaian dan cenderamata dijual.

Tidak kurang menariknya, lawatan ke Muzium Kebudayaan Turki dan Islam di Fateh, Istanbul.

Muzium itu asalnya milik Pargali Ibrahim, wazir kepada Sultan Sulaiman The Magnificent pada abad ke-16.

Di sana tersimpan seni lukis Islam, warisan budaya Turki sejak abad pertengahan, malah mengandungi pameran barangan Tamadun Islam sejak zaman Nabi.

Pengunjung pastinya teruja apabila dapat melihat jubah milik Saidina Ali serta pakaian Saidatina Fatimah yang dipamerkan di muzium berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:40 AM
 
 

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…