Palestin, Syria, Xinjiang tuntut respons umat Islam

MALAYSIA menduduki satu kedudukan istimewa sebagai sebuah negara Islam paling prihatin terhadap nasib umat Islam global yang berdepan tekanan dan kezaliman musuh.

Sikap ini konsisten ditunjukkan oleh kerajaan dan terutamanya rakyat sejak dulu - mengambil peranan sebagai suara prihatin yang jauh lebih besar berbanding saiz fizikal negara Malaysia sendiri.

Paling jelas ialah perjuangan Palestin, yang konsisten melalui dasar-dasar dan tindakan-tindakan Kuala Lumpur sejak dulu hingga ke hari ini, meskipun terpaksa melawan arus yang ditetapkan oleh kuasa besar.

Malah di dokumen rasmi perjalanan rakyat Malaysia, tertera larangan memasuki Israel yang menunjukkan betapa serius dan pentingnya isu Palestin kepada Malaysia.

 

Keprihatinan terhadap isu umat Islam ini mendorong pelbagai bentuk aktivisme bantuan oleh kumpulan dari pelbagai aliran umat Islam Malaysia dan juga penegasan pendirian oleh rakyat Malaysia. 

Palestin wajar kekal sebagai satu isu utama umat Islam kerana sejarah dan kedudukannya yang wajar diberikan keutamaan, menjadi satu isu yang berperanan sebagai kayu ukur tahap kesedaran, ukuran sikap sebenar rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa. 

Tetapi dari satu sudut lain, Palestin masih dilihat dari satu sudut yang agak sempit dan kurang mengambil kira percaturan kuasa-kuasa serantau yang berkepentingan, menggerakkan respons tertentu demi kepentingan sendiri lebih daripada kepentingan Palestin. 

Banyak negara, daripada Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Mesir, Qatar dan Turki telah menjadikan Palestin sebagai salah satu isu dalam perkiraan dasar luar mereka, menjadikannya tertakluk pada agenda negara terbabit. 

Satu contoh yang jelas ialah perkembangan sepanjang kebangkitan di dunia Arab bermula Disember 2010 hingga ke hari ini, yang menyaksikan sentimen umat dipengaruhi dan dibentuk oleh percaturan politik yang akhirnya merugikan umat Islam sendiri. 

Konflik di Syria telah mencetus dan memperpanjangkan kekacauan di Syria dan seluruh dunia Islam, apabila sentimen mazhab disebarkan dan dijadikan naratif utama untuk menyingkapi peristiwa ini. 

Respons umat pada masa itu dan kekal hingga ke hari ini didasarkan pada sentimen anti-Syiah (anti-Iran) yang mempengaruhi semua pendirian berkaitan dan menjadi lensa untuk melihat dan menilai semua perkembangan berkaitan. 

Boleh dikatakan sepanjang 2011 hingga 2013 ialah tempoh sentimen sektarian ini muncul dan mengganas, hingga menutup sebarang wacana yang lebih kritis dan adil terhadap konflik itu. 

Disebabkan kedudukan kuasa seperti Arab Saudi dan Turki dalam dunia Islam, yang berperanan sebagai pemimpin pendapat umat, pendirian dan respons umat dipengaruhi kuat oleh kuasa tersebut yang turut memiliki kuasa lunak tersendiri dalam dunia Islam. 

Kumpulan-kumpulan Islam termasuk parti politik dan aktivis bantuan hampir semuanya menerima naratif pertembungan mazhab sebagai penentu utama dalam konflik di Syria dan mencetus pelbagai kesan dan implikasi lain. 

Wacana yang seragam dapat diperhatikan sepanjang tempoh itu, yang bersumber dari satu aliran dan kelompok yang sama, menyampaikan naratif dan perincian yang kelihatan telah disediakan untuk menepati naratif sektarian yang dibina. 

Malang bagi umat Islam pada masa itu, persaingan kuasa-kuasa serantau dan kuasa besar dunia terlepas dari pandangan. Malah, kepentingan Palestin yang tergugat oleh perancangan di Syria juga tidak diperhatikan. 

Umat Islam yang cenderung responsif dan mudah dijangka telah dihalakan kepada pemikiran dan tindakan yang mudah dan seragam, tanpa semak dan imbang yang diperlukan. 

Kini, isu penindasan terhadap kaum Uighur di Xinjiang, China mula mendapat perhatian dan beberapa tindakan melibatkan pelbagai kumpulan untuk menyatakan sikap telah dilaksanakan. 

Isu ini sememangnya menuntut respons umat Islam kerana tidak dapat dinafikan berlaku penindasan tersebut, walaupun skala yang sebenar masih memerlukan lebih maklumat dan pengesahan yang sewajarnya. 

Berdasarkan apa yang telah dilalui sepanjang kebangkitan Arab terutama peristiwa di Syria, umat Islam mesti lebih berhati-hati agar tidak dipergunakan sentimen mereka hingga menyebabkan implikasi yang sukar termasuk hubungan yang keruh dengan Beijing. 

Selain isu di Xinjiang, ada beberapa isu umat Islam yang juga menuntut tindakan seperti penindasan umat Islam di Assam dan seluruh India yang kini hidup di bawah kerajaan Hindu yang berhaluan kanan ekstrem dan Islamophobia yang kini marak di seluruh dunia Barat, kesan politik haluan kanan yang semakin mendapat sokongan.

Selain aktivisme bantuan dan penegasan sikap yang tegas, umat Islam juga memerlukan perbincangan lebih terbuka dan kritis berhubung isu umat Islam seluruh dunia. Ini supaya dapat sentiasa mengambil sikap yang betul dan adil dan tidak mudah dipergunakan demi kepentingan politik kuasa-kuasa tertentu.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.

 

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…