Seruan Ke Baitullah Bergema Lagi

MADINAH (Bernama) -- Seruan ke Baitullah bergema lagi dengan kumpulan pertama 483 jemaah haji Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada 11.50 pagi waktu tempatan (4.50 petang waktu Malaysia) 4 Julai lepas.
Tahun ini, seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan Lembaga Tabung Haji (TH) bersama-sama 640 petugasnya menjadi agensi penting dalam usaha memastikan operasi Musim Haji 1440 Hijrah berjalan lancar.

Bagi musim haji tahun ini, TH menyediakan sebanyak 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos depan.

Hari wuquf dijangka pada 9 Zulhijjah yang bersamaan 10 Ogos ini.

TH menghantar petugasnya bermula dari 23 Jun lepas dengan kumpulan pertama seramai 13 petugas teknikal diikuti kumpulan kedua seramai 151 petugas pada 27 Jun. Kumpulan petugas seterusnya akan ke Tanah Suci secara berperingkat.



LALUAN MUDAH KE MAKKAH  
Petugas Lembaga Tabung Haji (TH) di Madinah bersedia memberikan khidmat kepada jemaah haji Malaysia. --Gambar ihsan Lembaga Tabung Haji (TH)

Dalam usaha memudahkan perjalanan jemaah ke Tanah Suci, inisiatif Laluan ke Makkah atau 'Makkah Route' iaitu sistem pelepasan haji yang dikendalikan Arab Saudi, digunakan lagi kali ini bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.

Kerajaan Arab Saudi meneruskan inisiatif praperlepasan itu untuk semua jemaah haji Malaysia setelah ia didapati berkesan dalam mengurangkan masa jemaah berada di lapangan terbang.

Menerusi inisiatif itu, yang diperkenalkan Arab Saudi pada 2017, jemaah haji tidak lagi perlu melalui proses imigresen di negara tersebut kerana proses itu dilakukan di KLIA.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) TH, Nurrinanuwar Shamsuddin berkata Makkah Route yang diteruskan kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji Malaysia tahun ini mengurangkan masa jemaah berada di lapangan terbang.

"Proses Imigresen dapat diselesaikan dalam masa 45 minit hingga satu jam berbanding masa menunggu tiga atau empat jam sebelum program ini diperkenalkan. Terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana meneruskan inisiatif ini," katanya.
Barisan tukang masak yang akan menyediakan makanan untuk jemaah haji Malaysia untuk musim haji tahun ini. --Gambar ihsan Lembaga Tabung Haji (TH)

TH menyediakan lima hotel penempatan di Madinah iaitu Hotel Al-Haram, Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Saja Al-Madinah, Hotel As Saha dan Hotel Rawda Al-Aqiq yang terletak kira-kira 100 dan 300 meter dari Masjid An-Nabawi.



CABARAN

Nurrinanuwar berkata jemaah haji juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan serta menjaga kesihatan terutama dalam menghadapi cuaca panas yang mencecah 47 darjah Celsius.

Pengarah Operasi Madinah TH Affandi Abdullah berkata dengan pelbagai cabaran termasuk cuaca panas berbanding pada musim haji terdahulu, jemaah haji dinasihatkan untuk membuat persediaan mental dan fizikal.

"TH berharap jemaah dapat terus menjaga kesihatan sejak dari tanah air lagi. Bekalan ubat-ubatan lazim hendaklah dibawa dan diambil mengikut keperluan," katanya.

Beliau berkata semua operasi TH kini dalam keadaan bersedia untuk memberikan khidmat kepada jemaah supaya mereka dapat menumpukan kepada ibadah dengan sebaik-baiknya.

Selain itu, TH juga memastikan jemaah dan petugas dapat menikmati makanan yang seimbang serta mencukupi menerusi sajian yang disediakan sekumpulan tukang masak berpengalaman.

Mereka diketuai oleh Cef Ismail Hamid, 48, yang berpengalaman lebih 20 tahun menyediakan makanan di Tanah Suci semasa musim haji.

Beliau dibantu oleh Cef Bakri Ahmad, 41, dan Cef Yusairi Mustafa, 40, yang menyediakan makanan di Bangunan Abraj Al-Janadriah, iaitu ibu pejabat TH di Makkah.

Ismail berkata beliau melaksanakan amanah menyediakan masakan yang halal dan bersih dengan mematuhi peraturan standard operasi pengendalian penyediaan makanan yang ditetapkan oleh TH, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Arab Saudi.

"Kerja ini merupakan satu ibadah. Ini saya lihat sebagai satu nikmat yang dinanti-nanti khususnya apabila dapat menyediakan makanan kepada petugas yang menyantuni jemaah haji," katanya yang terlibat dalam bidang kulinari sejak berusia 23 tahun.

Menceritakan pengalaman pada 2008, Ismail berkata beliau pernah memasak menggunakan dapur kayu arang dalam keadaan berihram kerana turut serta menjalankan ibadah wukuf di Arafah.

“Pengalaman seperti ini tidak ternilai kerana kita ingin memastikan para jemaah dapat makan dan mengalas perut supaya tidak mengganggu ibadah mereka," katanya.



TELEKOMUNIKASI 

Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumat TH Za’aba Arpan pula berkata pada musim haji ini, pihaknya melaksanakan beberapa penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat (IT) dalam usaha memastikan kelancaran operasi haji.

Antaranya adalah dengan menaik taraf talian di Hospital TH di Makkah dengan gentian optik, menaik taraf Sistem Maklumat Kesihatan (SIHAT) berpandukan maklum balas operasi tahun lepas dan membangunkan Sistem Kamar bagi membolehkan lokasi bilik jemaah haji dipantau dengan lebih sistematik.

TH turut menguji beberapa aplikasi sistem utama iaitu Sistem Haji dan Deposit, SIHAT yang melibatkan pasukan perubatan, Sistem Bersepadu yang akan menyediakan statistik jemaah haji bagi keperluan operasi dan Sistem Hajj Mobility bagi memastikan pergerakan jemaah haji direkodkan.

"Kami sedang giat membuat penyelenggaraan ke atas lebih 800 peralatan komputer dan memastikan semua infra talian Internet serta talian utama berfungsi serta selamat digunakan bagi tiga sektor utama operasi haji di Makkah, Madinah dan Jeddah," katanya.

Selain itu, TH juga komited memberikan kemudahan telekomunikasi terbaik kepada jemaah haji Malaysia apabila menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi Arab Saudi iaitu Mobily.

Kerjasama melalui Program Sahabat Korporat TH itu akan memberi perkhidmatan kad sim prabayar kepada jemaah Malaysia bagi memudahkan mereka menghubungi keluarga semasa berada di Tanah Suci.

Kad prabayar ini hanya boleh diaktifkan di Makkah dan Madinah sahaja. Jemaah hanya perlu membawa sim kad dan lencana pengenalan diri sebelum petugas di kaunter Mobily, yang disediakan di setiap bangunan penginapan, mengimbas jari mereka untuk pengaktifan.

Bagi jemaah yang tidak mempunyai telefon bimbit, syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) akan meneruskan perkhidmatan i-Talk yang membolehkan jemaah membuat panggilan ke tanah air pada kadar yang berpatutan iaitu SR1 seminit.



Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin

BERNAMA
 
 
 

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…