Menangisi Ramadan, merai Syawal

Kedatangan Syawal tentu saja akan disambut dengan penuh kegembiraan oleh seluruh umat Islam namun Ramadan yang masih berbaki perlu diisi dengan melipatgandakan ibadat kerana kita belum pasti adakah berpeluang bertemu lagi dengan Ramadan.

Amalan baik yang dibuat sepanjang Ramadan perlu diteruskan selepas tempoh itu malah Aidilfitri yang akan menjelang seharusnya menjadi ibadat kepada kita, sekali gus tidak meraikannya seperti festival atau pesta melalaikan.

Pada saat ketibaan Aidilfitri, ia seharusnya diraikan penuh kegembiraan dengan memperbanyakkan istighfar, tasbih dan tahmid terutama menjelang malam raya sehinggalah ke pagi hari raya.

Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan takbir dan ibadat, tidak dimatikan hatinya pada hari dimatikan segala hati.”

Sebagai tanda kesyukuran dianjurkan juga memperbanyakkan sedekah kepada golongan yang kurang berada, tidak bernasib baik ataupun golongan fakir miskin serta anak yatim.

 

Amalan bermaafan, ziarah

Amalan menyediakan jamuan kepada tetamu yang datang bertandang adalah suatu amalan mulia yang harus dikekalkan, tetapi konsep bersyukur tetap perlu diutamakan. Ia tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar apatah lagi hingga boros yang membawa kepada pembaziran dengan penyediaan makanan dan kuih-muih hingga memberi kesan negatif terhadap kesihatan diri.

Malah, bagaimana sambutan hari raya dengan penuh kesyukuran itu boleh dizahirkan sekiranya ia bercampur-aduk dengan elemen maksiat misalnya keluar berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram ataupun menggayakan pakaian baharu yang tidak memenuhi syariat.

Sambutan hari raya juga dianjurkan diisi dengan amalan ziarah-menziarahi sesama kita. Amalan ini amat bersesuaian dengan budaya kita yang umumnya mengambil cuti sempena menyambut perayaan Aidilfitri.

Selewat-lewatnya dua hari sebelum hari raya nanti, kebanyakan kita sudah bersiap sedia untuk pulang ke kampung halaman. Lantas, inilah masanya yang paling sesuai untuk saling berkunjung. Tidak salah sekiranya pada Aidilfitri kali ini, kita berazam untuk menziarahi seberapa ramai ahli keluarga terdekat sebagai amalan ibadat di hari raya dan pada masa yang sama, dapat meneruskan dan mendekatkan hubungan kekeluargaan.

 

Hidupkan amalan berziarah dan bermaafan sesama insan agar dapat mengeratkan persaudaraan. - Foto hiasan

 

 

Dewasa ini, amalan ziarah-menziarahi semakin pudar disebabkan tarikan aneka program hiburan di televisyen ataupun kelekaan bermain permainan dalam talian yang menggantikan rangsangan untuk berziarah.

Tayangan pelbagai cerita di televisyen seolah memaku anak-anak ataupun remaja malahan orang dewasa untuk terus menatap kaca televisyen, berpindah dari satu program ke program lain sehinggalah tempoh bercuti sempena hari raya tamat.

Sehubungan dengan pudarnya amalan ziarah-menziarahi, amalan bermaaf-maafan semakin tidak popular. Meskipun tidak dinafikan tuntutan bermaafan itu sebagai suatu amalan yang perlu dilaksanakan sepanjang masa, hari raya waktu paling ideal untuk bertemu dengan sanak saudara dan saling maaf-memaafkan.

 

Tuntutan bersedekah, budaya duit raya

Perkara yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri ialah zakat fitrah. Mesej daripada ibadat itu adalah merayakan hari kegembiraan bersama dengan mereka yang kurang berkemampuan. Selari dengan tuntutan zakat, pada hari raya juga dituntut kita memperbanyakkan sedekah.

Perbanyakkan sedekah kepada fakir miskin ataupun anak yatim. Amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak untuk melahirkan kesyukuran dan mengharapkan kanak-kanak bergembira adalah suatu hasrat yang amat positif.

Namun, implikasi budaya memberi duit raya agak membimbangkan kerana boleh menyebabkan kanak-kanak tidak memahami hasrat sebenarnya. Jika kanak-kanak tidak diberikan duit raya, seolah-olah sambutan hari raya tidak lengkap. Malah adakala sesetengah kanak-kanak mengeluh apabila tidak menerima duit raya.

Apatah lagi, budaya memberi duit raya pada hari ini tidak lagi mengutamakan golongan susah, fakir miskin ataupun anak yatim seperti dianjurkan. Sebagai generasi tua, budaya sebegini perlu dinilai semula supaya kita tidak terbabit dalam menghasilkan generasi materialistik yang kehilangan faham terhadap aspirasi hari raya itu sendiri.

Aidilfitri akan menjelang. Biarlah kedatangan hari raya pada tahun ini disambut secara lebih bermakna dan mendapat barakah sesuai dengan namanya Aidilfitri al-Mubarak.

Sementara itu, penuhkan Ramadan yang masih berbaki dengan melipatgandakan ibadah. Pada penghujung bulan al-Quran ini, Rasulullah SAW dan Sahabat Baginda bersedih dengan pemergiannya. Malah Saidina Umar AS, seorang pahlawan yang begitu dikenali dengan sikap kerasnya juga akan menangis apabila berada pada hari terakhir Ramadan.

Jabir RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: Apabila datang malam akhir Ramadan, langit dan bumi serta malaikat akan menangisi bencana (musibah) yang menimpa umat Muhammad. Sahabat bertanya; “Apakah musibah itu?” Sabdanya; “Pemergian Ramadan, sesungguhnya padanya doa dimakbulkan, sedekah diterima, kebaikan digandakan dan azab diangkatkan.

Apakah musibah lain yang lebih besar daripada kepergian Ramadan? Jika langit dan bumi menangis kerana kita, maka kita lebih berhak menangis dan bersedih apabila dihilangkan kelebihan dan kemuliaan sebegitu daripada kita.

Penulis adalah Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam

 

 

Berita Harian

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…