Sultan pendaulat Islam

SEJARAH membuktikan Islam berkembang di Tanah Melayu dengan peranan istana yang berkesan.

Pemerintah Kerajaan Melaka yang diketuai sultan berperanan menyebarkan Islam dengan menyambut baik usaha dakwah dilakukan oleh pendakwah.

Kegiatan dakwah turut diadakan di istana termasuk usaha menyalin dan menterjemahkan kitab penting berkaitan Islam.

Pendakwah turut dihantar ke merata tempat bagi memastikan Islam terus tersebar.

 

Mahmud Junus dalam bukunya bertajuk Sejarah Islam di Minangkabau menyatakan, Sultan Mansur Syah di Melaka pernah menghantar pendakwah ke Minangkabau Timur untuk menyebarkan dakwah yang kemudiannya melahirkan ramai pendakwah tempatan.

Usaha itu membuktikan Melaka adalah tempat berkumpulnya pendakwah yang bertanggungjawab menyebarkan Islam ke seluruh wilayah Nusantara pada abad ke-15.

Bukan sekadar itu sahaja, Islam dijadikan dasar utama dalam pembentukan perlembagaan atau undang-undang di beberapa negeri seperti di Johor dan Terengganu.

Contohnya, Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk adalah undang-undang bagi negeri Terengganu yang disusun dan diwujudkan berlandaskan Islam ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Ia diwujudkan bagi mengisytiharkan Terengganu sebuah negeri Melayu Islam berdaulat.

Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Bidayah wa an-Nihayah berkata: “Manusia itu bergantung kepada agama raja-raja mereka.”

Ia satu ungkapan yang menunjukkan betapa besarnya peranan sultan atau raja yang membawa manusia menerima Islam serta menegakkan syariat Islam dalam pemerintahannya.

 Rakyat akan mengikut jejak langkah sultan dalam menerima Islam sebagai satu cara hidup.

Apabila seorang raja masuk Islam, maka Islam jugalah rakyat di bawahnya. Hal itu dibuktikan oleh sejarah dan perkara itu tidak boleh dinafikan sama sekali.

Justeru, sultan yang menjadi ketua agama bagi negeri masing-masing dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi Wilayah Persekutuan adalah satu bentuk kelangsungan peranan istana dalam mendaulatkan Islam di negara ini.

Malah, peranan pihak istana termaktub dalam perlembagaan yang perlu dipatuhi dan dihormati semua pihak.

Sebagai rakyat Malaysia yang patuh kepada perlembagaan negara, semua perincian undang-undang bukan sahaja perlu dihormati, malah mesti dihidupkan sepenuhnya.

Pandangan yang mengatakan institusi raja hanya satu simbolik dan hanya terbabit dalam ritual keagamaan bagi agama Islam perlu diperbetulkan.

Umat Islam perlu berusaha menjadikan institusi raja benar-benar relevan bagi tujuan membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang sentiasa memelihara dan mendaulatkan Islam.

Peranan aktif pihak istana dalam menyuarakan teguran dan nasihat membabitkan Islam seperti membendung tersebarnya fahaman liberal, menggesa agar umat Islam sentiasa bersatu, memartabatkan undang-undang Islam khususnya membabitkan mahkamah syariah dan banyak lagi adalah satu bentuk usaha mendaulatkan agama Islam di Malaysia. 

Usaha itu perlu disambut dengan dukungan rakyat jelata bagi menjadikan Islam agama yang tinggi martabatnya.

Ketinggian Islam sebagai agama rasmi negara tidak boleh hanya berada dalam perlembagaan sahaja.

Ia perlu dihidupkan dengan usaha diterajui istana dan diperjuangkan oleh rakyat sebagai respons positif terhadap usaha berkenaan.

Institusi raja di Malaysia adalah golongan Ulil Amri yang wajib ditaati membabitkan urusan mendaulatkan Islam di negara ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu…” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Sempena Istiadat Pertabalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 esok, sewajarnya umat Islam merapatkan saf bersama dengan kepimpinan Tuanku bagi mendaulatkan Islam di Malaysia.

Semua usaha yang sedang dan bakal dilaksanakan menyentuh soal agama Islam tidak boleh sekadar dimulai oleh baginda, sebaliknya perlu disambut dengan sokongan rakyat.

Institusi agama juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu dan menasihati baginda berhubung urusan agama Islam dalam negeri Wilayah Persekutuan.

Secara spesifik pula, institusi mufti berperanan membantu baginda dalam hal berkaitan hukum syarak manakala mahkamah syariah dalam urusan pentadbiran undang-undang Islam.

Semua itu termaktub dalam undang-undang dan wajib dilihat sentiasa berfungsi pada setiap masa.

Selalu didengar ungkapan raja dan rakyat berpisah tiada. Ungkapan itu perlu dijadikan asas dalam mengeratkan peranan raja dan rakyat bagi tujuan mendaulatkan Islam di negara yang tercinta ini.

Kebersamaan itulah yang perlu diserlahkan. Tanpa hubungan erat antara kedua-duanya, Islam tidak akan kuat seperti yang sepatutnya.

Gandingan itu adalah satu bentuk gandingan kebaikan yang dituntut Islam.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 8:43 AM
 

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…