Remaja mualaf cari keberanian beritahu ibu

KOTA BHARU 8 Jun - Tubuhnya kurus sahaja tetapi wajah putih berseri dengan tutur kata lembut dan sopan pasti membuat sesiapa memandang terpikat dengan remaja mualaf, Muhammad Uwais Tan Abdullah,19, yang berasal dari Tanah Merah dekat sini.

 Sikapnya yang amat menghormati orang yang lebih berusia di samping kepandaian membaca al-Quran adalah ciri-ciri anak soleh yang didambakan setiap ibu bapa.

Namun, siapa yang dapat meneka gejolak rasa remaja ini yang lebih empat tahun terpaksa menyembunyikan keislaman daripada keluarga khususnya ibu tercinta.

"Pernah semasa saya keluar dari bilik air di rumah saya dapati buku agama yang saya sembunyikan dalam lipatan kain baju telah beralih tempat.

"Saya syak ibu saya sudah tahu saya memeluk Islam tetapi saya masih lagi takut untuk berterus terang kerana bimbang tidak dapat balik ke rumah lagi.

"Sekarang saya masih boleh menjenguk ibu di kampung di Tanah Merah sekali sekala kerana keluarga ingat saya bekerja di bandar Kota Bharu," katanya ketika ditemui di Madradah Pengajian Islam (MPI) di Kok Lanas di sini baru-baru ini.

MPI atau lebih dikenali dengan Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli (PULDOA) adalah sebuah institusi di bawah Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan yang menyediakan pendidikan asas agama kepada anak Orang Asli, mualaf serta golongan yang tercicir dari arus pendidikan perdana.

Sementara itu, Muhammad Uwais berkata, dia memeluk agama Islam pada 3 Mac 2015 dengan bantuan sahabat dan keluarga angkat yang tinggal di Melor di sini yang membawanya ke pejabat agama.

Katanya, perjalanan menuju hidayah itu sebenarnya bermula sejak dari tingkatan satu lagi kerana dia memang berminat untuk mempelajari agama ini biarpun secara sembunyi-sembunyi.

Menurutnya, dia pernah mengalami satu ketenangan yang tidak dapat digambarkan di suatu pagi Subuh semasa bermalam di rumah seorang rakannya yang bukan Islam.

"Bila tersedar saya mencari suis lampu kerana suasana masih gelap,  kedengaran suara orang membaca al-Quran di surau kampung itu tiba-tiba hati saya rasa sebak dan tenang yang tidak pernah saya rasai, inilah yang menguatkan semangat saya untuk mendalami Islam.

"Sebelum bergelar Islam, saya sudah dapat hafal beberapa doa ringkas seperti doa sebelum tidur kerana diajar kawan di asrama sekolah untuk membaca bersama-sama," katanya.

Muhammad Uwais berkata, sebaik memeluk Islam, dia mula berulang alik belajar di MPI pada waktu cuti kerana masih terikat dengan pembelajaran di sekolah dan seterusnya kolej vokasional ketika itu.

"Saya gembira kerana dalam tempoh setahun saya dapat mengenal huruf dan membaca al-Quran dengan baik dan pada Ramadan 2017 saya khatam buat pertama kali," katanya.

Sementara itu, Pengetua MPI, Suhaidah Suhaimi berkata, terdapat 95 pelajar bermula dari usia 12 tahun kini belajar di situ dan ditanggung pelbagai pihak termasuk pejabat agama atau majlis agama Islam negeri masing-masing.

 

Suhaidah berkata, bilangan itu termasuklah 60 pelajar Orang Asli dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Selangor manakala selebihnya adalah saudara baharu dan anak mualaf termasuk dari Sabah.

"Kita juga bagi peluang kepada anak-anak yang tercicir persekolahan kerana masalah pendaftaran kerana salah seorang ibu bapa warga asing. 

"Pelajar mendapat elaun RM50 sebulan dan mereka diberi asas pelajaran agama dan akademik sehingga tempoh maksima tujuh tahun supaya dapat menjadi penggerak dan pendakwah dalam masyarakat,"katanya. - UTUSAN ONLINE

Tentang Kami

 Kenali BatuBersurat Langganan Emel       ◊ Hubungi Kami
Langgan batubersurat hari ini untuk menerima ringkasan berita harian terus ke inbox anda. Kami menghargai maklumat anda, dan kami tidak akan spam inbox anda dengan emel yang banyak.

                    Batu Bersurat,

                    A99, Jalan Tuanku 2,

                    Salak South Garden,

                    57100 Kuala Lumpur,

                    MALAYSIA

batubersurat.com adalah portal yang mengumpulkan berita dan info berkaitan Islam, dikutip dari pelbagai sumber dengan tujuan untuk memudahkan dan meningkatkan pengetahuan pembaca mengenai perkembangan Islam dan dunia Islam mengikut segmen yang disediakan.

   

 

Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…